Masjid Bersejarah yang Boleh Dilawati di Melaka

2024-06-24

Masjid Bersejarah yang Boleh Dilawati di Melaka | Jom MelancongMelaka, negeri yang kaya dengan sejarah pemerintahan Islam dan pusat perdagangan purba, menawarkan beberapa masjid bersejarah yang memukau. Masjid-masjid ini tidak hanya menjadi tempat ibadat, tetapi juga simbol keagungan Islam di rantau ini. Jom melancong dan terokai keindahan serta keunikan masjid-masjid bersejarah di Melaka.

 

1. MASJID SELAT MELAKA

Masjid Selat Melaka terletak di Kampung Bandar Hilir Melaka, berhampiran Bandaraya Melaka. Ia memberi kesan struktur terapung apabila paras air tinggi. Kos pembinaannya dianggarkan sekitar RM10 juta. Majlis Perasmian dilakukan pada 24 November 2006 oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail. Masjid ini menjadi mercu tanda penting di Melaka dengan senibina yang unik dan lokasinya yang strategik berdekatan dengan bandar.

Kredit Imej: Islamic Tourism Centre Kredit Imej: Flickr

 

2. MASJID AL-AZIM

Masjid Al-Azim terletak kira-kira tiga kilometer dari bandar Melaka, dalam daerah Melaka Tengah, Melaka. Dibina antara 14 Mac 1984 hingga 12 Januari 1990 dengan kos RM19.5 juta, masjid ini dirasmikan oleh DYMM Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong Sultan Azlan Shah pada 13 Julai 1990.

Ia mampu menampung 10,400 jemaah, dengan ruang untuk wanita (700) dan lelaki (9,700) tanpa gangguan tiang kecil. Reka bentuknya menggabungkan seni bina Melayu tradisional dan seni ukir Islam, mengikut konsep Islam yang terdiri daripada empat unsur utama. Sulurbayung di hujung bumbung melambangkan keindahan seni bina Melayu.

Kredit Imej: Wikipedia

 

3. MASJID CINA MELAKA

Masjid Cina Melaka, juga dikenali sebagai Masjid Krubong, merupakan masjid di Krubong, Melaka, Malaysia, yang mempunyai gaya seni bina Cina. Ia adalah salah satu dari tiga masjid berciri seni bina Cina di Malaysia, selain di Kelantan dan Perak. Dibina oleh Persatuan Cina Muslim Melaka, pembinaan masjid ini bermula pada Ogos 2012 dan siap sepenuhnya pada April 2014.

Masjid ini direka dengan seni bina Cina yang unik, termasuk pagoda dan kaligrafi Cina, menggabungkan reka bentuk dari beberapa masjid di Beijing, Shanghai, dan Xi’an, China. Masjid ini dilengkapi dengan pelbagai kemudahan termasuk menara, kubah, dewan solat utama, perpustakaan, dewan serbaguna, pejabat, dan restoran, dengan keupayaan menampung sehingga 2,000 jemaah.

Kredit Imej: Flickr

Kredit Imej: SAYS

 

4. MASJID KAMPUNG HULU

Masjid Kampung Hulu, terletak di Melaka, dibina pada 1728 dan merupakan masjid ketiga tertua di Semenanjung Malaysia. Dibina semasa penjajahan Belanda, ia mempunyai pengaruh seni bina Jawa dan Cina. Strukturnya unik dengan bumbung berlapis tiga, tiang seri, dan tembok rendah mengelilingi kawasan masjid. Masjid ini telah dipulihara dari 2010 hingga 2014 dan kini menjadi tarikan pelancong utama di Malaysia.

Kredit Imej: Facebook

 

5. MASJID KAMPUNG KLING

Masjid Kampung Keling, sebuah masjid bersejarah di Melaka, Malaysia, merupakan salah satu masjid tertua di negara ini, dibina pada tahun 1748. Terletak di Jalan Hang Lekiu, kawasan sekitar masjid ini dahulu didiami oleh penduduk dari India selatan yang dipanggil “Keling”.

Reka bentuk masjid ini mencerminkan pengaruh seni bina Cina dan Eropah, dengan bumbung berlapis tiga yang membenarkan cahaya dan udara masuk. Pengaruh Cina dapat dilihat dalam jubin seramik dan penggunaan tiang Corinthian di sekitar dewan solat. Masjid ini juga mempunyai menara pagoda dan tembok perlindungan yang tinggi, menambahkan kepada keunikan seni bina dan sejarahnya.

 

6. MASJID AL-ALAMI

Masjid Al-Alami, MITC Melaka terletak di Jalan Ayer Keroh Lama, Pusat Perdagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, Melaka. Dibina pada 17 September 2001 di atas kawasan seluas 22 ekar dan siap pada 30 Julai 2003 dengan kos pembinaan sebanyak RM7.5 juta.

Bangunan ini berbentuk segi empat, dengan menara pendek di setiap sudutnya. Ia mempunyai bumbung dua tingkat yang merupakan ciri-ciri awal masjid gaya Sumatera, dan diakhiri dengan sebuah kubah. Reka bentuk bumbung utama diulang dalam bumbung menara. Frieze di dinding menampilkan corak geometri berulang-ulang.

Kredit Imej: Flickr

Kredit Imej: Facebook

 

Artikel Lain